Saturday, February 4, 2012

Kembara Eropah: Dari KLIA ke Schipol



Pengalaman menjejakkan kaki ke Eropah adalah antara kenangan paling manis yang pernah dialami sepanjang hidup ini. Bumi Eropah yang terkenal dengan sejarah ketemadunan silam serta budaya unik dan pelbagai tempat menarik yang mengagumkan adalah antara faktor ianya menjadi tarikan pelancong serata dunia.

Hati mula terdetik untuk melihat sendiri keindahan bumi Eropah setelah mendengar pelbagai cerita menarik yang disampaikan oleh seorang rakan baik, Dila yang sedang bekerja di salah sebuah syarikat usahasama Sime Darby-Unimillis di bandar Rotterdam, Belanda. Pada waktu itu, Dila juga menyambung pengajian Sarjana di Universiti Wageningen, secara sambilan. Menariknya, Dila masuk bekerja ke pejabatnya di Rotterdam, cuma pada waktu cuti semester. Manakala, Dila akan menetap di Wageningen sepanjang waktu kuliah semester, dimana universiti tersebut terletak hampir 2jam perjalanan dari bandar Rotterdam dengan menaiki keretapi. Oh! Menurut Dila, Wageningen terletak berdekatan dengan sempadan Jerman.

Sejak itu, saya telah berazam untuk bekerja lebih keras lagi agar impian tersebut terlaksana suatu hari nanti. Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka, peluang datang dan impian jadi kenyataan pada pertengahan bulan Mei 2010. Perancangan telah dibuat sejak awal tahun lagi. Almaklumlah, perlancongan secara bajet. Jadi, semuanya dirancang sendiri dengan bantuan serta nasihat dari kawan-kawan yang pernah melancong ke sana, terutamanya Dila. Selain itu, saya banyak melayari Google, Wikipedia dan Lonely Planet untuk mengumpul maklumat yang berkaitan.


Perjalanan bermula dari KLIA, Sepang ke Schipol, Amsterdam dengan menaiki penerbangan KLM. Keluarga menghantar saya di KLIA, sempat juga kami singgah minum di salah sebuah restoran di situ sementara menunggu waktu saya 'boarding'. Hampir saja saya ketinggalan untuk 'boarding' gara-gara terleka bersama keluarga. Akibat sudah terlambat, terpaksalah saya berlari-lari mengejar 'tren' transit ke terminal pelepasan (departure) tempat kapal terbang saya terletak. Mujurlah sempat!, walaupun saya adalah diantara orang terakhir yang masuk ke dalam kapal terbang. Kus semangat! Hehe...

Saya berlepas dari KLIA pada jam 11.30 malam dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 12jam tanpa henti. Inilah pengalaman pertama kali melalui penerbangan dalam tempoh masa yang panjang, malahan berseorangan pula. Perasaan saya bercampur baur; antara gembira, teruja dan terselit juga rasa bimbang. Mujurlah, seorang makcik dalam lingkungan umur 50an yang berasal dari Indonesia, duduk bersebelahan saya. Dapatlah kami berborak-borak untuk menghilangkan rasa kebosanan menempuh perjalanan yang jauh itu.

Berkenalan dengan makcik itu (walaupun saya sudah lupa namanya) menerbitkan rasa kagum di hati kecil saya. Rupa-rupanya, makcik juga seperti saya; pertama kali terbang ke Eropah, berseorangan. Mendengar ceritanya, makcik ke Belanda untuk melawat anak perempuannya yang telah berkahwin dengan lelaki Belanda, dan juga mempunyai seorang cucu. Sudah 3 tahun lamanya mereka tidak berjumpa, sejak anaknya berpindah ke sana. Urusan percutiannya diuruskan oleh anaknya melalui agensi pelancongan. Sempat juga makcik meminta kami bertukar-tukar alamat sekiranya berkesempatan untuk berhubung lagi selepas ini.

 

Setelah penat, kami menghabiskan baki perjalanan dengan tidur, memandangkan waktu masih lagi malam sekiranya di Malaysia. Dari pemerhatiannya saya, kebanyakan penumpang adalah warganegara Indonesia kerana penerbangan KLM dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, akan transit di Jakarta terlebih dahulu untuk mengambil/pertukaran penumpang. Beberapa kali juga saya terjaga, dikejutkan oleh 'stewardess' untuk waktu makan. Walaupun, makanan yang disediakan tidaklah mengikut selera anak tekak saya, namun terpaksalah ditelan juga kerana kelaparan. Hehe...

Akhirnya, kami mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam pada jam hampir 5pagi waktu tempatan. Untuk info, perbezaan waktu diantara Amsterdam dengan Kuala Lumpur ialah 6jam lebih lambat. Syukurlah, saya tidak ditahan oleh pegawai kastam sewaktu sesi pengesahan imigresen. Sesi  'soal-siasat' juga berjalan lancar. Antara soalan-soalan yang ditanya ialah berapa lama tempoh masa saya akan menetap di Belanda, apakah tujuan saya ke sana, dimanakah tempat saya akan menetap, dan juga berapakah jumlah wang yang dibawa.


Tetapi, kasihan makcik kerana ditahan oleh pegawai kastam gara-gara tidak tahu berbahasa Inggeris dan gagal menjawab soalan-soalan dari pihak imigresen. Akibatnya, makcik dibawa ke sebuah bilik kecil untuk siasatan lanjut sementara menunggu anaknya sampai untuk menjemput makcik pulang.

Setelah bagasi diambil, saya pun berjalan-jalan di sekitar untuk mengambil gambar. Walaupun masih seawal 5.30pagi, tetapi disana sudah terang seperti siang hari pukul 8pagi. Kemudian, saya berhenti sebentar di Burger King untuk mengalas perut sementara menunggu Dila datang menjemput untuk ke destinasi seterusnya.



Cerita bersambung...*peace*

1 comment:

Unknown said...

Salam..nice sharing,tjumpa link blog ni.mana tau Ada perancangan utk kesana